Wednesday, December 30, 2009

Bermuhasabah

Bermusahabah adalah satu jalan untuk megenal diri sendiri. Kekuatan, kelemahan, pembaikkan dan halatuju yang ingin dicapai. Setiap orang mempunyai kesemua elemen yang diberikan Allah untuk menuju ke jalan yang diredhai olehNya, cuma kita sebagai hamba ini kurang menyedari elemen ini telah ada didalam diri kita semasa roh ditiup olehnya di luh mahfudz. Semalam semasa mesyuarat Lembaga Pengarah, saya baru menyedari saya tidak menggunakan segala elemen yang ada ini untuk menangkis segala permasalahan didalam organisasi yang saya pimpin. setelah menyedari diri ini sepatutnya menggunakan elemen ini, saya menyedari orang yang ingin dipimpin secara langsung dan tidak langsung harus dipimpin menggunakan elemen yang telah ada didalam diri masing-masing. Hari ini dengan rahmat Allah juga yang mengilhamkan diri ini, saya bangun dengan semangat yang positif untuk memimpin menggunakan kaedah yang dipelajari. Moga Allah akan terus mengilhamkan diri yang fakir ini ke jalan diredhai dan menjadikan diri ini hambaNya yang solehah dunia dan akhirat!

Saturday, December 05, 2009

Angan-anganku

Aku teringin menjadi hamba Allah yang solehah, alim dan tawaduk. Ianya harus bermuala dari muhasabah diri dan sabar atas segala musibah dan bersyukur atas anugerah yang diberi oleh yang Maha Esa. Sebagai hamba kita tidak boleh terlalu berkira dan terlalu mengharap apa yang diinginkan akan dapat dicapai dengan senang dan sempurna. Ingin menjadi hamba Allah juga perlu bertatih tatih dan punyai kesabaran. Dalam meninjak usia 40an, banyak yang belum dicapai, takut-takut tidak mendapat hidayah kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk menjadi insan yang berjaya didunia dan akhirat. Di Maal Hijrah ini saya berazam untuk :

1. Meninggalkan segala kehidupan duniawi yang melalaikan, insyallah
2. Membaca Al Quran dengan sekerap mungkin beserta tafsirnya
3. Memulakan hari dengan bertahajud- taubat dan berzikir sebanyak mungkin
4. Cuba sedaya mungkin tidak meninggalkan solat dhuha ( saya kerap tertinggal melakukannya)
5. Bekerja dengan besungguh-sungguh
6. Menjadi ketua yang adil
7. Menjaga kesihatan dengan berjogging sekurang-kurangnya seminggu sekali
8. Usahakan untuk bersilaturahmi
9. Membaca buku-buku yang akan meningkatkan ilmu dan amal
10.Menghadiri majlis ilmu sebanyak mungkin
11. Bersedekah sekerap mungkin terutama kepada kerabat
12. Tingkatkan komunikasi berkesan bersama rakan sekerja
13. Menyimpan sebanyak mungkin untuk mengerjakan rukun Islam ke 5
14. Menyelesaikan segala urusan pusaka arwah emak yang masih terbengkalai
15. Sering berdoa untuk kedua saudara tua untuk mengubah kehidupan yang lebih baik
16. Meningkatkan keupayaan berfikir yang lebih baik dan terancang.

Kesemua azam ini akan diusahakan dengan hidayah dan rahmat illahi jua, sebagai hamba Tuhan kita hanya mampu merancang.Kita tidak merancang untuk gagal, gagal merancang tentu akan gagal!

Saturday, November 07, 2009

Sepagi di KLCC

Semalam kakak dan saya ke KLCC. Kami sampai seawal 10pagi. Cadangan ke Kinokuniya, Times Bookstore. Mula-mula kami mencuci mata di kedai jam Swatch melihat koleksi terbaru, aduh cantiknya, harga yang tidak begitu cantik! Kemudian kami meneruskan perancangan ke Kinokuniya, Melihat buku terbaru dan mencari cari idea untuk diketengahkan kepada pengurus kedaibuku di Pekanbuku UM, Sudah agak lama tidak ke sini, susun atur buku pun telah berubah. Buku buku Melayu diletakkan ke belakang bersebelahan dengan ruang pengembaraan dan buku buku Cina. Malangnya nasib buku Melayu diketepikan begitu sekali. Buku ugama Islam juga diletakkan bersebelah buku Melayu sedangkan dahulu buku ugama Islam diletakkan bersebelahan dengan kasyier. senang untuk membeli dan membayar! Walaupun buku Melayu diletakkan di ruang belakang, saya melihat masih ramai juga pengunjung mencari buku di situ. Buku buku yang diletakkan setanding dengan buku lain seperti di Popular dan MPH. Harga juga kompetatif. Saya tidak banyak memborong kali ini, cuma majalah World of Watches yang memang selalu saya beli di sini. Selepas menghabiskan masa di kedai buku, kami berjalan-jalan ke kedai komputer. Mata ini tertumpu kepada netbook jenama Asus berharga RM1599. Boleh tahan. Spesifikasi menarik dengan bateri boleh tahan selama 10.5j. Menakjubkan! Tambahan RM168 untuk 2g ram. Meninjau-ninjau peluang jika KKUM dapat bekerjasama dengan syarikat tersebut. Syarikat ini juga adalah agen untuk Palm, sememangnya saya sedang mencari kemudahan telefon bersama PDA dan Palm adalah pilihan terbaik. Harga RM 2199. Kami berdua adalah "loyal fan" Palm. Dulu kami hanya menggunakan Palm PDA yang asas dan ianya amat berkesan untuk membuat kerja-kerja . Di samping comel ianya menjimatkan masa dan tentunya idea-idea dapat dicurahkan dengan cepat dan mudah. Palm Treo ini juga dapat mengakses e book dengan baik. Nampak gayanya bulan ni saya akan cuba mendapatkan kedua-dua gajet ini. Terbayang-bayang dalam mimpi malam tadi. Kami berdua makan tengahari di A & W. Sedapnya burger ikan disini. Dalam perjalanan pulang kaki ni merayap pulak di Isetan dan Parkson menjamu mata di bahagian alatulis, mahalnya pen Parker tapi diskaunnya menarik 22% , kalau Lamy paling tinggi pun 20% bila lah Lamy dapat 40% diskaun setiap tahun harga bertambah naik sesuai dengan keluaran baru dan menarik. Saya memakai Lamy sejak masih di pusat pengajian tinggi, sehingga kini telah ada 3 Lamy yang saya pakai. Desain yang menarik mengundang orang meminjam tanpa dipulangkan balik! Sekarang saya memakai Lamy dan Parker untuk menandatangani cek, nampak ada kelasnya yang tersendiri, kata orang orang yang menulis dengan pen basah, orangnya unik!

Monday, October 19, 2009

Pengurus Kewangan 2

Bertugas sebagai Pengurus Kewangan bukanlah baru bagi saya. Sebelum ini saya bertugas selama 1.5tahun sebagai Pengurus Kewangan dan Pentadbiran. Di tempat lama tanggungjawabnya tidak seberat sekarang walaupun tugas Pentadbiran & Kewangan berjalan sekaligus, Cabarannya tidak banyak dan kadangkala menjemukan saya untuk ke pejabat. Aktiviti kadang-kadang tiada. Di tempat sekarang setiap hari adalah pengalaman dan mematangkan fikiran namun masalah yang utama adalah sikap setiap pekerja terhadap tanggungjawab yang diamanahkan. Di bahagian Kewangan sendiri, saya adalah ketua kepada 10 orang anak buah. Setiap seorang mempunyai kekuatan dan kekurangan. Kebanyakan telah bekerja lebih dari 15tahun di situ. Cara pemikiran adalah cara lama. Perubahan terasa sukar dan saya mengamalkan sikap terbuka dan bilik saya pun memang sentiasa terbuka dan setiap masalah boleh dikongsi bersama. Namun prinsip hidup saya yang amat saya tekankan jujur pada diri sendiri dan jangan sesekali menipu dan menepati masa. Saya memastikan setiap bulan sekurang-kurangnya 2 kali mesyuarat jabatan. Setiap masalah akan saya cuba selesaikan sebaik mungkin. Masalah dengan jabatan lain akan saya kemukan kepada Pengurus bahagian masing-masing. Saya akan mencuba untuk tidak menghampakan harapan orang bawahan saya dan menganggap mereka seperti kakak saya dalam sebuah keluarga. Saya juga akan menegur mereka secara berhikmah jika ada yang tidak kena di mata saya contohnya seperti melewat lewatkan solat fardhu. Saya menggalakkan mereka untuk hadir ke majlis ilmu yang kami adakan sebulan sekali pada minggu ketiga setiap bulan. Hubungan yang baik dan mesra akan memberikan natijah yang baik dan sikap toleransi sesama kakitangan. Saya cuma mengharapkan mereka dapat bekerja dengan saya dengan ikhlas dan bantu membantu antara satu sama lain. Insyallah tahun ini saya akan mula menilai prestasi masing-masing dan berharap dapat menjadi ketua yang adil kepada mereka.

Sunday, October 11, 2009

UIA, Gombak


Tempat pengajianku sekarang adalah UIA Gombak. Sesuai dengan imej sebagai universiti Islam antarabangsa, pentadbirnya mencuba untuk menerapkan ciri-ciri keislaman sebagai cara hidup. Tetapi malangnya dari pemerhatian ku sebagai penuntut, ianya masih jauh dan tidak banyak berbeza dari pusat pengajian yang pernah saya hadiri. Budaya 'coupling' masih berleluasa, walaupun telah diasingkan tempat antara brothers and sisters di kebanyakan tempat awam ia nya masih berleluasa. Kakitangan masih banyak yang mempraktik budaya orangMelayu yang jarang senyum di kaunter, tidak menepati waktu dan acuh tak acuh bila berurusan dengan pelajar separuh masa dan hanya ke kampus selepas waktu bekerja dan di hujung minggu. Kursus pula dikhaskan masa hari bekerja, seolah-olah pelajar separuh masa tidak patut hadir menagih ilmu. Waktu perpustakaan juga hanya mengikut masa pelajar sepenuh masa. Sabtu dan Ahad hanya dibuka 9-4.45petang. Nasib baik pelajar siswazah ada tempat pembelajarannya sendiri dengan kemudahan surau, pantry dan makmal yang boleh digunakan untuk menelaah dan mencari bahan pembelajaran. Agaknya itulah cabaran yang harus dilalui oleh pelajar separuh masa dan ianya membuatkan kami lebih bersemangat dan tabah melalui mehnah kehidupan. Aku yang telah mengikuti pengajian sebagai pelajar separuh masa dari diploma hingga ke peringkat siswazah sekarang mengakui pelajar separuh masa adalah matang dan lebih mementingkan mutu pembelajaran dari pelajar sepenuh masa. Namun pelajar separuh masa memungkinkan pengajian lebih lama dan kebarangkalian momentum untuk meneruskan pengajian adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan pelajar sepenuh masa.

Sunday, October 04, 2009

Silatur rahmi

Semalam kami berdua meraikan tamu dan juga bersilatur rahmi ke selatan Kuala Lumpur. Kami bermula ke Kajang rumah Dr Yati yang merupakan client kami dan menghabiskan masa selama 45minit makan makan yang agak berat, tapi kami tak berapa makan sebab ada 2 rumah yang ingin dilawati tapi satay tak dapat dielakkan, sedap maklum satay Kajang, he he he.Kemudian kami ke Semenyih pula ke rumah Rosni yang lama tidak ketemu. Beliau adalah bekas rakan sekerja kakak di Sepakat Computer. Kemudian ke Mantin rumah Kak Fuz. Duduk agak lama sejam sambil hilangkan lenguh memandu seharian. Jumpa pula Mat Yat bekas pekerja IR Acheh, banyak yang kami perbualkan tentang IRM, IR International yang dipenuhi oleh Mat2 Arab yang banyak menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan. Kesemua kami bersyukur telah pun keluar dari IRM/IR dan menjalani kehidupan bekerja di tempat lain. Memang kita hendak berkhidmat di tempat yang mempunyai visi dan misi menolong golongan daif tapi apakan daya ianya tidak semudah yang diungkapkan melalui visi dan misi IR.

Saturday, September 26, 2009

Gembiranya saya

Sesungguhnya jika kita mengharapkan keredhaan Illahi dan berdoa Dia akan mendengar doa hambaNya. Hari ini saya merangka beberapa kegiatan untuk menghabiskan cuti yang tinggal berbaki 2 hari sahaja lagi. Salah satunya pergi berziarah hari raya ke rumah sahabat di Seri Kembangan dan kemudian ke Mines mencari perisian komputer untuk akaun yang saya telah berjanji dengan kak Umi untuk mencarinya. Selepas berziarah, saya bercadang alang-alang ke Serdang elok juga singgah ke kedai jam untuk membaiki beberapa buah jam yang telah rosak di kedai Andi. Alhamdullilah jam Omega dan Rolex dapat dibaiki dengan jayanya oleh Andi dengan harga yang sangat berpatutan. Jam Smash yang tidak dapat dibaiki di kedai jam Taman Melawati telah juga dapat dibaiki dengan harga RM 45.00, senangnya hati! Di Mines pula saya berdoa yang saya dapat memenuhi janji saya kepada kak Umi untuk membeli perisian yang bukan ori untuk kegunaan perniagaannya. Alhamdullilah selepas berlegar-legar dapat juga mencari perisian yang diperlukan. Gembiranya hati saya, selain memenuhi kehendak sendiri dapat pula memenuhi kehendak kak Umi. Kehendak diri untuk berjalan-jalan dapat juga dipenuhi hari ini setelah duduk di rumah menghabiskan cuti selama 10 hari. Saya percaya jika Allah berkehendak, dia akan memberikan kepada hambanya. Alhamdullilah.......Esok bercadang ke Sungei Buluh pula menziarah keluarga adik ipar saya Zeti Akhtar dan juga Wan Acik di Paya Jaras. Itulah saja waris keluarga Hj Shaari yang tinggal.

Friday, September 25, 2009

Pengurus Kewangan 1

Saya ditawarkan jawatan PK di KKUM pada Oktober 2008. Mengreportkan diri pada 15hb Disember selepas memberi notis 2 bulan di tempat lama. Berdebar juga di tempat baru dan hari pertama di sini di kenal kan dengan semua staff di bahagian akaun, pemasaran dan billing dan di blok depan bahagian serial. Di samping mengetuai bahagian akaun, saya juga mengetuai bahagian yang lain disebabkan di pejabat di PJ tiada yang berjawatan pengurus. Oleh yang demikian, semua masalah di pejabat PJ akan dikemukan oleh saya kepada pihak pengurusan. Tiada masalah yang rumit cuma masalah untuk menguruskan orang yang terasa rumit. Maklum umur saya agak muda jika dibandingkan dengan yang lain, malah pembantu saya telah berkhidmat selama lebih 20 tahun di KKUM. Setiap hari adalah hari yang menambah kan pengetahuan dan pengalaman menguruskan kewangan KKUM yang bernilai 41juta jualan setahun dan kakitangan yang berjumlah 200 orang.

Tuesday, September 22, 2009

Kucing-kucing kesayanganku

Aku mempunyai 10 ekor kucing yang menjadi kesayangan kami sekeluarga. Dulu kami pernah ada 20 ekor kucing malangnya mati satu persatu. Ramadhan yang lalu kami kehilangan Tokin dan Manja akibat virus yang menular. Schumi, Comel, Black alhamdullilah dapat diselamatkan. Alhamdullilah- aku takut jika kucingku mati aku akan diazab sebanyak bulu yang ada di badan mereka jika aku mengabaikan mereka. Duit boleh di cari tapi rasanya aku tak mahu kehilangan mereka yang memberikan aku kebahgiaan dan kegembiraan dengan melihat telatah mereka yang menghiburkan. Sesungguhnya Allah mencampakkan makhuk comel ini untuk mengajar erti sabar, kasih sayang sesama makluk ciptaanNya dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya dan belajar redha dengan kematian mereka. Hari hariku dimulai dengan memberi mereka makan nasi yang dimasak dengan ikan sardin dan juga diselang seli dengan biskut antara waktu tengahari dan petang. Keletihan bekerja hilang bila nampak mereka menyambut kepulanganku dari pejabat dan duduk di ribaan ku satu persatu minta dimanja dan dicium. Walaupun ramai mengatakan yang kucing membuatkan tuannya selalu kurang sihat, aku cuba menjaga kesihatanku sebaik mungkin kerana tentu ada sebab Allah menciptakan binatang comel ini untuk disayangi oleh manusia. Kucing juga adalah binatang kesayangan nabi dan aku ingin mengikut sunnah Rasullullah dengan menyayangi si comel kaki empat ini.

Monday, September 21, 2009

Jam klasik

Ramadhan ini saya dipertemukan dengan rakan blog yang meminati jam vintage/klasik. Menarik sungguh collection mereka. Saya merasakan yang perlunya saya menjual beberapa collection yang saya jemu untuk menjaga dan melihatnya. Saya meminati jam buatan Swiss, ber automatik dan berkunci. Jam berbateri pula saya meminati jam Casio, Swatch, Citizen. Walaupun ada yang berharga ratusan dan ribuan ianya tidak sama dengan kepuasan yang di dapati dengan melihat denyutan nadi mereka berjalan, Saya meminati jam sedari kecil dan mula mengumpul 10 tahun yang lalu. Ianya bermula sejak rakan karib saya mengikuti suaminya bertugas di Phnom Penh, Cambodia. Di sana jam klasik mudah di dapati dengan harga yang amat berpatutan. Jam pertama yang saya beli dengan Razak adalah Omega Seaville dengan harga RM 500.00, automatik, bertali besi dan berbentuk empat segi. Saya juga membelikan arwah mak jam berjenama Gucci dengan harga Rm 350.00. Di samping itu saya membelikan angah saya Titoni dengan harga yang sama dengan Gucci dan anggaran harganya sekarang melebihi RM 1,000.00. Di samping itu saya menambah pengetahuan dengan membeli majalah berkenaan jam dan juga berkawan dengan apek tua yang luas pengatahuan tentang jam. Banyak yang boleh diperolehi dengan berkawan dengan mereka. Di samping itu saya menambah koleksi dengan membida di ebay.com, lelong.com dan sekarang di mudah.com.my. Harga yang dijual selalunya dalam kemampuan saya dan jika yang berkenan di hati terlalu mahal saya akan menyimpan duit dan membelinya setelah cukup wang .
Ramadhan 1430

Ramadhan 1430 adalah ramadhan yang membawa banyak suka duka kehidupan ku sebagai hambaNya. Ramadhan ke 2 tanpa emak di sisi kami sekeluarga. Ramadhan ang membawa madrasah tarbiah yang hebat. Minggu kedua di timpa musibah kemalangan kereta dalam perjalanan pulang pejabat. Alhamdullilah diri terselamat, kereta yang remuk dan duit yang licin macam air utuk memperbaiki 2 kereta sekaligus. Dalam kekeringan duit tersebut, anak kucing dirumah di timpa virus yang menular. Dua mati dijemputNya. Bil hospital mencecah Rm 1,000 untuk mereka. Banyak pelajaran boleh diambil iktibar dari kejadian ini. Duit yang ada patut lebih di infakkan kepada yang memerlukan, niat wajat dipenuhi tanpa lengah. Jangan berlengah untuk melakukan kebaikan, Allah akan menunjukkan kuasanya tanpa had.

Pembacaan Al-Quran hanya terhenti di surah Yusuff juz 12, tapi alhamdullilah kali ini bersama dengan pembacaan tafsirnya sekali, quantiti yang diharapkan lebih baik dari tahun sebelumnya pembacaan tanpa tafsir. Alhamdullilah juga dapat manghadiahkan Al Quran pada sahabat yang sedang mencari Al Quran per kata berserta Asbabun Nuzul yang insyallah menjadi asbab untuk mendapat ganjaran pahala dariNya.