Monday, October 19, 2009

Pengurus Kewangan 2

Bertugas sebagai Pengurus Kewangan bukanlah baru bagi saya. Sebelum ini saya bertugas selama 1.5tahun sebagai Pengurus Kewangan dan Pentadbiran. Di tempat lama tanggungjawabnya tidak seberat sekarang walaupun tugas Pentadbiran & Kewangan berjalan sekaligus, Cabarannya tidak banyak dan kadangkala menjemukan saya untuk ke pejabat. Aktiviti kadang-kadang tiada. Di tempat sekarang setiap hari adalah pengalaman dan mematangkan fikiran namun masalah yang utama adalah sikap setiap pekerja terhadap tanggungjawab yang diamanahkan. Di bahagian Kewangan sendiri, saya adalah ketua kepada 10 orang anak buah. Setiap seorang mempunyai kekuatan dan kekurangan. Kebanyakan telah bekerja lebih dari 15tahun di situ. Cara pemikiran adalah cara lama. Perubahan terasa sukar dan saya mengamalkan sikap terbuka dan bilik saya pun memang sentiasa terbuka dan setiap masalah boleh dikongsi bersama. Namun prinsip hidup saya yang amat saya tekankan jujur pada diri sendiri dan jangan sesekali menipu dan menepati masa. Saya memastikan setiap bulan sekurang-kurangnya 2 kali mesyuarat jabatan. Setiap masalah akan saya cuba selesaikan sebaik mungkin. Masalah dengan jabatan lain akan saya kemukan kepada Pengurus bahagian masing-masing. Saya akan mencuba untuk tidak menghampakan harapan orang bawahan saya dan menganggap mereka seperti kakak saya dalam sebuah keluarga. Saya juga akan menegur mereka secara berhikmah jika ada yang tidak kena di mata saya contohnya seperti melewat lewatkan solat fardhu. Saya menggalakkan mereka untuk hadir ke majlis ilmu yang kami adakan sebulan sekali pada minggu ketiga setiap bulan. Hubungan yang baik dan mesra akan memberikan natijah yang baik dan sikap toleransi sesama kakitangan. Saya cuma mengharapkan mereka dapat bekerja dengan saya dengan ikhlas dan bantu membantu antara satu sama lain. Insyallah tahun ini saya akan mula menilai prestasi masing-masing dan berharap dapat menjadi ketua yang adil kepada mereka.

Sunday, October 11, 2009

UIA, Gombak


Tempat pengajianku sekarang adalah UIA Gombak. Sesuai dengan imej sebagai universiti Islam antarabangsa, pentadbirnya mencuba untuk menerapkan ciri-ciri keislaman sebagai cara hidup. Tetapi malangnya dari pemerhatian ku sebagai penuntut, ianya masih jauh dan tidak banyak berbeza dari pusat pengajian yang pernah saya hadiri. Budaya 'coupling' masih berleluasa, walaupun telah diasingkan tempat antara brothers and sisters di kebanyakan tempat awam ia nya masih berleluasa. Kakitangan masih banyak yang mempraktik budaya orangMelayu yang jarang senyum di kaunter, tidak menepati waktu dan acuh tak acuh bila berurusan dengan pelajar separuh masa dan hanya ke kampus selepas waktu bekerja dan di hujung minggu. Kursus pula dikhaskan masa hari bekerja, seolah-olah pelajar separuh masa tidak patut hadir menagih ilmu. Waktu perpustakaan juga hanya mengikut masa pelajar sepenuh masa. Sabtu dan Ahad hanya dibuka 9-4.45petang. Nasib baik pelajar siswazah ada tempat pembelajarannya sendiri dengan kemudahan surau, pantry dan makmal yang boleh digunakan untuk menelaah dan mencari bahan pembelajaran. Agaknya itulah cabaran yang harus dilalui oleh pelajar separuh masa dan ianya membuatkan kami lebih bersemangat dan tabah melalui mehnah kehidupan. Aku yang telah mengikuti pengajian sebagai pelajar separuh masa dari diploma hingga ke peringkat siswazah sekarang mengakui pelajar separuh masa adalah matang dan lebih mementingkan mutu pembelajaran dari pelajar sepenuh masa. Namun pelajar separuh masa memungkinkan pengajian lebih lama dan kebarangkalian momentum untuk meneruskan pengajian adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan pelajar sepenuh masa.

Sunday, October 04, 2009

Silatur rahmi

Semalam kami berdua meraikan tamu dan juga bersilatur rahmi ke selatan Kuala Lumpur. Kami bermula ke Kajang rumah Dr Yati yang merupakan client kami dan menghabiskan masa selama 45minit makan makan yang agak berat, tapi kami tak berapa makan sebab ada 2 rumah yang ingin dilawati tapi satay tak dapat dielakkan, sedap maklum satay Kajang, he he he.Kemudian kami ke Semenyih pula ke rumah Rosni yang lama tidak ketemu. Beliau adalah bekas rakan sekerja kakak di Sepakat Computer. Kemudian ke Mantin rumah Kak Fuz. Duduk agak lama sejam sambil hilangkan lenguh memandu seharian. Jumpa pula Mat Yat bekas pekerja IR Acheh, banyak yang kami perbualkan tentang IRM, IR International yang dipenuhi oleh Mat2 Arab yang banyak menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan. Kesemua kami bersyukur telah pun keluar dari IRM/IR dan menjalani kehidupan bekerja di tempat lain. Memang kita hendak berkhidmat di tempat yang mempunyai visi dan misi menolong golongan daif tapi apakan daya ianya tidak semudah yang diungkapkan melalui visi dan misi IR.